KUALA LUMPUR: Pelakon Fattah Amin mendedahkan ada peminat daripada Indonesia yang menangis gara-gara menonton pengakhiran wataknya di dalam filem Trinil: Kembalikan Tubuhku.

Memegang watak sebagai Yusuf (seorang dukun/psikitiari), Fattah berkongsi gadis ini dikatakan sedih kerana watak yang dipegangnya benar-benar memberikan kesan kepadanya.

“Ketika membuat lawatan di setiap pawagam untuk promosi bagi filem ini, tiba-tiba ada seorang peminat yang juga penonton menangis kerana terlalu emosi melihat filem ini.

“Kami pun tak sangka watak Yusuf ini boleh buat sampai penonton betul-betul menangis.

“Sebab dia ada plot twist kan untuk watak ini jadi orang tak sangka Yusuf akan jadi sebegitu.

“Tapi Alhamdullillah saya sangat bersyukur sebab kali pertama saya melakonkan filem di Indonesia penonton boleh terima watak yang saya bawa,” katanya.

Fattah Amin berkongsi perkara itu ketika ditemui selepas tayangan perdana filem ini di sebuah pawagam di Kuala Lumpur.

Filem Trinil: Kembalikan Tubuhku sudah ditayangkan di Indonesia pada 4 Januari lalu dan akan mula ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia mulai 22 Februari 2024.

Antara barisan pelakon lain yang turut membintangi filem ini termasuk Carmela van der Kruk, Rangga Nattra, Fattah Amin, Wulan Guritno, Shalom Razade dan Alexzander Wan.

Lebih istimewa lagi, penyanyi popular iaitu Aina Abdul telah diberi peranan untuk menyanyikan lagu OST filem berkenaan berjudul Kasih Merintih.


SINOPSIS TRINIL

Trinil: Kembalikan Tubuhku bermula dengan kisah pasangan suami isteri, Rara (Carmela Van De Kruk) dan Sutan (Rangga Nattra) memulakan hidup baharu setelah berkahwin.

Rara mewarisi sebuah ladang teh yang terletak di Jawa Tengah, manakala Sutan pula menjadi jururawat di hospital.

Pada suatu malam, Rara mengalami gangguan mistik. Risau akan terjadi sesuatu perkara yang lebih buruk, Sutan meminta bantuan Yusof (Fattah Amin) untuk menangani gangguan berkenaan.

Pada mulanya, Rara menolak cadangan suaminya itu. - Gempak